Alatan ‹ hazisteladan — WordPress

Julai 1, 2009 at 12:41 pm (Uncategorized)

sila klik

Pautan Kekal Tinggalkan Komen

Bagaimana Meningkatkan Pencapaian Akademik Anak?

Februari 25, 2009 at 3:31 pm (ARTIKEL)

Semua ibu bapa mahukan anak-anak berjaya dalam pelajaran mereka. Orang biasanya tidak tanya berapa duit kita tetapi mereka akan tanya apa keputusan yang diperolehi anak kita dalam peperiksaan besar seperti UPSR, PMR dan SPM. Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan ia menjadi tajuk perbualan dikalangan jiran tetangga, sanak saudara dan rakan sejawat. Tekanan inilah yang menyebabkan ramai ibu bapa cuba melakukan pelbagai usaha dalam membantu anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran. Yang mampu, sanggup berbelanja besar menghantar anak-anak ke kelas tuisyen yang dikelolakan oleh guru-guru pakar. Tekanan yang diterima dari masyarakat ini membuatkan ibu bapa ada ketikanya ‘memaksa’ anak-anak supaya cemerlang. Sebelum kita menekan anak-anak cuba semak diri kita dahulu. Adakah kita telah memainkan peranan kita sebaiknya dalam membantu mereka merealisasikan kecemerlangan tersebut? Berikut adalah perkara yang perlu diteliti dan dipraktikkan: Menyediakan keperluan asas seperti buku, peralatan, tempat belajar dll. Kelengkapan yang cukup adalah penting dalam memastikan anak-anak dapat belajar dengan selesa. Misalnya, pensil patah adalah suatu perkara yang remeh bagi kita tetapi ia besar bagi sesetengah anak terutamanya yang bersekolah rendah. Tiada peralatan lengkap seperti alat geometri boleh membuatkan seorang anak malas untuk ke kelas dan hilang tumpuan serta minat belajar. Buku yang tidak mencukupi boleh membuatkan anak memberi alasan untuk tidak belajar dan sesetengah mereka terpaksa berhadapan dengan kemarahan guru. Pakaian atau beg koyak boleh membuatkan anak malu dengan rakan-rakan dan tidak gembira untuk ke sekolah. Oleh itu sebagai ibu bapa, tengok-tengoklah keperluan asas untuk anak ke sekolah ini sentiasa, bukan sekadar diawal tahun sahaja. Sediakan satu bilik atau satu ruangan untuk anak-anak belajar di rumah. Pastikan ruangan ini selesa, tenang, nyaman dan jauh dari gangguan. Pastikan juga cahaya mencukupi dan ubah suai tempat belajar ini dari masa ke semasa bagi mengekalkan motivasi diri anak dan mood belajar mereka. Tidak ragu-ragu untuk disiplinkan anak Pelajar cemerlang adalah pelajar yang berdisiplin. Sebagai ibu bapa kita mestilah mampu mendisiplinkan anak-anak dirumah dari segi kekemasan bilik, pengurusan masa, pengurusan diri serta tingkah laku mereka. Galakkan anak-anak mengemas biliknya sendiri meskipun ada pembantu rumah yang boleh melakukannya. Pupuk sifat bertanggung jawab dan berdikari dalam diri anak. Duduk dengan anak dan bicangkan jadual harian mereka. Terangkan pada anak-anak betapa pentingnya mempunyai masa yang seimbang diantara belajar, beribadah, riadah, sosial, rehat, bersama keluarga dan sebagainya. Jadual yang disediakan ini mestilah fleksibel sebab anak-anak bukannya robot yang boleh menepati waktu setiap hari. Anak cemerlang adalah mereka yang ada peraturan sama ada di rumah atau di luar. Adalah menjadi tanggung jawab kita sebagai ibu bapa untuk mendisiplinkan mereka. Mengawasi dan menemani anak Ibu bapa boleh meningkatkan komitmen belajar anak dan merangsang minat mereka dengan menemani anak ketika waktu belajar mereka. Untuk anak-anak peringkat sekolah rendah, ibu bapa bolehlah mengajar mereka dan apabila anak-anak mula meningkat ke sekolah menengah secara beransur-ansur ibu bapa biarkan anak-anak berdikari. Dengan cara ini tabiat belajar dalam masa yang ditetapkan menjadi kebiasaan dan mudah untuk kita terus mendorong minat serta kemahuan mereka. Sabar dalam mengajar Mengajar anak sendiri memerlukan kesabaran yang tinggi. Ramai ibu bapa yang mudah hilang sabar lalu marah-marah dan meninggikan suara apabila mengajar anak-anak dalam pelajaran mereka. Mereka geram kerana anak-anak mungkin tidak memberikan perhatian, lambat faham, cepat lupa dan sebagainya. Perlu diingat, anak-anak bukan kita dan mereka tidak mungkin seperti kita. Lagi dimarah lagi tertutup minda dan buntu fikiran mereka. Mereka akan lebih takut untuk buat salah lalu tidak mahu mencuba. Kalau mampu, ajarlah anak-anak strategi belajar, teknik mengingat, prinsip memori dan sebagainya. Mudah-mudahkan pembelajaran mereka agar keyakinan diri mereka terbina sedikit demi sedikit. Ingat, kesabaran adalah kunci segalanya. Selalu berbincang dengan guru kelas dan rapatkan diri dengan aktiviti PIBG serta sekolah Kenali siapa guru anak-anak kita dan sering berbincang dengan guru tentang perkembangan mereka. Dengan cara ini kita cepat tahu sama ada anak-anak beri tumpuan dalam kelasnya, siap kerja sekolahnya, masuk kelas pada waktunya dan sebagainya. Apabila berpeluang tawarkan diri untuk melibatkan diri dalam PIBG dan aktiviti sekolah. Dengan cara ini guru-guru tahu siapa kita dan mereka juga akan berikan perhatian yang lebih baik kepada anak-anak kita. Malah kerapkali anak-anak kita, tanpa diminta, diberikan peluang untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti sekolah dan ini akan meningkatkan ‘self-esteem’ mereka. Anak-anak juga akan lebih menjaga disiplin serta pelajaran mereka kerana mereka sedar bahawa perkembangan diri mereka cepat dimaklumkan oleh guru kepada ibu bapa. Komitmen anak-anak secara langsung akan meningkat terhadap pelajaran mereka. Ikuti perkembangan dan kemajuan anak di sekolah Jangan tunggu hingga anak bawa pulang Buku Laporan Kemajuan baru mahu bertindak. Kerana ketika itu sudah agak terlambat untuk bertindak. Ibu bapa hendaklah mengikuti perkembangan dan kemajuan anak-anak setiap masa. Pantau ujian bulanan mereka dan kenalpasti kelemahan yang ada. Cari penyelesaian untuk mengatasi kelemahan tersebut seawal mungkin. Kalau anak-anak perlu dituisyenkan maka hantarlah mereka ke kelas-kelas tuisyen untuk subjek-subjek tertentu yang mereka perlu dibantu. Kalau anak-anak lemah dari segi sahsiah maka masukkanlah mereka ke program-program berbentuk motivasi. Lambat bertindak akan mengakibatkan anak-anak tertinggal dalam pelajaran mereka. Anak-anak mula rasakan yang diri mereka tiada kebolehan dan masa depan. Pemikiran yang salah sebegini akan membuatkan mereka hilang minat dan malas untuk berusaha. Akhirnya, mereka fikir buat apa belajar kalau sudah tahu diri akan gagal. Mereka mulalah terpengaruh dengan rakan-rakan yang negatif dan terlibat dengan pelbagai gejala sosial. Kenali rakan-rakan anak dan ibu bapa mereka Rakan-rakan adalah orang penting kepada anak-anak dan berpengaruh dalam menentukan identiti serta imej mereka. Sekiranya mereka berkawan dengan orang yang rajin maka rajinlah mereka. Sekiranya mereka salah memilih kawan maka bermasalahlah nanti. Sebagai ibu bapa prihatin hendaklah kita ambil tahu dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, dari mana mereka dapatkan wang untuk membeli sesuatu yang mungkin diluar kemampuan diri dan sebagainya. Simpan nombor telefon kawan-kawan mereka dan rapatkan diri dengan ibu bapa mereka. Apa salahnya sesekali diadakan perjumpaan antara ibu bapa agar semuanya dapat ambil berat akan perkembangan anak-anak. Ia memudahkan kita menasihati bukan sahaja anak kita tetapi juga rakan-rakan mereka kelak. Begitu juga dengan ibu bapa yang lain, mereka juga tidak akan segan silu untuk menegur dan menasihati anak kita. Dengan cara ini anak kita dan rakan-rakannya tidak sewenang-wenangnya mengabaikan pelajaran hanya kerana utamakan pergaulan. Sentiasa mengintai peluang yang boleh memajukan anak Dalam kehidupan kita seharian terdapat pelbagai aktiviti, program, kursus serta peluang untuk memajukan anak-anak dalam pelajaran dan sahsiah mereka. Ibu bapa cemerlang tidak kedekut dan sanggup mengeluarkan pelaburan untuk kebaikan anak-anak. Kecemerlangan anak-anak dalam bidang yang tiada kaitan dalam pelajaran seperti aktiviti ko-kurikulum, sukan, persatuan dan sebagainya boleh menjadi perangsang untuk mereka cemerlang dalam bidang pelajaran. Disamping itu, program-program seperti kursus motivasi, kursus berkaitan dengan kemahiran belajar, kelas teknik menjawab peperiksaan dan lain-lain boleh menjadi faktor yang meningkatkan lagi pelajaran mereka. Ini berdasarkan kepada pengalaman mereka yang telah megikuti program Motivasi Alihan Pelajar yang saya jalankan. Ada diantara anak-anak mendapat lonjakan markah yang cukup ketara setelah mendapat bimbingan dan motivasi. Jadikan budaya membaca sebagai suatu amalan Masyarakat Malaysia terkenal sebagai masyarakat yang malas membaca lebih-lebih lagi apabila bahan bacaan tersebut berbentuk ilmiah. Penyakit ini menular dari generasi ke generasi dan akhirnya lahirlah masyarakat yang tidak mantap ilmunya. Sebagai ibu bapa, kita hendaklah menanam budaya membaca bermula di rumah. Adakan masa tertentu untuk membaca seisi keluarga. Bawa anak-anak ke perpustakaan dan ke kedai-kedai buku. Minat membaca bermula dari ibu bapa sendiri. Kalau ibu bapa tidak memulakan tabiat membaca ini maka usah letakkan kesalahan malas belajar itu atas anak semata-mata. Kita bertanggung jawab sepenuhnya dalam hal ini kerana ibu bapalah acuan yang membentuk sikap dan tingkah laku anak-anak. Memberikan kerjasama sepenuhnya kepada anak dan hormati waktu belajar mereka Adalah tidak adil apabila anak yang bersekolah dan ada peperiksaan dipaksa belajar sedangkan anggota keluarga yang lain melakukan aktiviti yang boleh mengganggu tumpuan dan emosi mereka. Misalnya, anak-anak yang bersekolah disuruh masuk bilik dan belajar sedangkan ibu bapa asyik menonton televisyen, abang berinternet, kakak bergayut di telefon, adik kecil bising dengan mainannya. Semua ini memberikan tekanan yang bukan sedikit kepada anak yang mahu belajar. Mereka tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari keluarga. Mulai hari ini adakan peraturan iaitu bila tiba waktu belajar maka tiada aktiviti lain selain daripada aktiviti keilmuan. Ahli keluarga yang lain boleh gunakan waktu itu untuk membaca akhbar, majalah, buku dan sebagainya. Kalau berinternet sekalipun, pastikan masa itu digunakan untuk mencari maklumat bukan untuk berhibur. Adik kecil boleh gunakan masa tersebut untuk melukis dan mewarna. Malah, ibu bapa boleh gunakan masa belajar ini untuk mengajar anak-anak jika mampu. Dengan cara begini, anak-anak dapat rasakan bahawa semua keluarga mahu lihat mereka berjaya dan bersemangat untuk membuktikannya. Meletakkan harapan berdasarkan kemampuan diri anak Tidak ada ibu bapa yang tidak mahu lihat anak mereka berjaya dan begitu juga kita. Namun begitu, ibu bapa mestilah realistik dalam menentukan pencapaian anak-anak mereka. Sekiranya harapan yang diletakkan itu terlalu tinggi hingga anak-anak rasakan mustahil untuk mencapainya maka mereka mula rasa tertekan. Anak-anak mudah rasakan diri mereka tidak berguna apabila gagal mencapai impian ibu bapa lalu kecewa dan murung. Keadaan bertambah parah apabila ibu bapa mula marah-marah setiap kali anak-anak gagal mendapat markah yang baik. Kata-kata kesat dan sindiran-sindiran tajam mula dilemparkan kepada anak-anak seperti “sia-sia sahaja hantar tuisyen”, “hidup hanya menghabiskan beras sahaja .. “, “Itulah memang dasar anak pemalas!” dan macam-macam lagi. Cuba renungkan sejenak, apa baiknya kita luahkan dan puaskan perasaan kita dengan cara begitu. Adakah ia menjadikan anak kita lebih bijak? Pastinya tidak. Adakah ia akan mengubah cara anak kita belajar? Mungkin juga tidak. Ia hanya akan melukakan lagi hati anak dan mencalar ‘self esteem’ mereka. Oleh itu, bincanglah dengan anak-anak tentang sasaran dan matlamat mereka dan bantu mereka untuk capai matlamat tersebut. Inilah yang terbaik sebab anak-anak merasakan sasaran yang diletakkan itu adalah sasaran mereka bukan sasaran ibu bapa. Tidak merendah-rendahkan kebolehan anak di hadapan orang lain Manusia mudah percaya apa yang dikatakan tentangnya lebih-lebih lagi kalau yang berkata itu mempunyai pengaruh atas dirinya. Begitulah juga anak kita. Kerap kali apabila ibu bapa bawa anak-anak mereka berjumpa saya tanpa berselindung lagi mereka terus menceritakan keburukan-keburukan dan kelemahan-kelemahan anak kepada saya di depan anak-anak mereka. Misalnya, “anak saya ni malaslah”. “Anak saya ni kuat tengok TV dan tak boleh diharap, berkali-kali ditegur tapi macam tu juga”, dan macam-macam lagi. Wajah anak tiba-tiba berubah. Mereka mungkin ketika itu rasa malu, rendah diri, kecewa, marah dan sebagainya. Lebih buruk lagi mereka percaya itulah mereka dan tiada apa yang boleh dibuat sebab mereka telah dilahirkan begitu. Akibatnya, anak tidak akan bersungguh-sungguh berusaha dan mereka akan kekalkan sikap tersebut dan mengulangi tingkahlaku negatif kerana mereka percaya itulah diri mereka yang sebenar. Kesilapan sebegini dilakukan oleh ramai ibu bapa tanpa mereka sedari. Jadi mulai hari ini, kalau mahu bincangkan masalah anak maka bincanglah tanpa kehadiran mereka. Di depan mereka cuba suburkan kebaikan yang ada, fokus lebih kepada kelebihan mereka. Sekiranya ada kelemahan dan keburukan yang mahu ditegur maka tegurlah secara berhikmah dan nasihatlah secara baik. Kalau kesilapan anak-anak menyentuh soal peribadi mereka, tegurlah secara individu tanpa kehadiran sesiapa termasuk adik beradik yang lain. Kalau kesilapan anak-anak menyentuh soal umum seperti masalah bilik tidak kemas, buang sampah merata-rata dan sebagainya maka tegurlah secara terang-terangan untuk memberi pengajaran kepada yang lain. Tegur perbuatannya bukan orangnya. Tidak membanding-bandingkan kebolehan Ibu bapa perlu ingat bahawa kemampuan anak-anak adalah berbeza. Tidak semua boleh berjaya dalam bidang akademik. Ada yang dianugerahkan oleh Allah dengan kebolehan dan kemahiran lain seperti petah berpidato, pandai melukis, bijak bermain alat muzik dan mencipta lagu, mahir bertukang, dan sebagainya. Oleh itu kenapa mesti dibandingkan pencapaian mereka? Kalau adik dibandingkan dengan kakak dan abang, mereka rasakan seolah-olah ibu bapa tidak cukup sayangkan mereka. Kalau perbandingan dibuat dengan rakan-rakan, mereka akan rasa rendah diri pula. Oleh itu, membandingkan anak tidak membantu kecemerlangan mereka. Adakah ini bermakna kita tidak boleh ambil kejayaan orang lain untuk diceritakan kepada anak-anak? Tidak.. bukan begitu yang dimaksudkan. Ibu bapa, lazimnya, menyebut kelebihan dan kejayaan orang lain kepada anak-anak hanya apabila marah, geram dan kecewa dengan tindakan dan tingkahlaku mereka. Lain pada masa itu, kita lupa dan tidak ambil kisah. Sebab itulah anak-anak menolak cara ibu bapa ini. Oleh itu, apabila menegur kesilapan dan kegagalan anak, jangan sama sekali dibandingkan dengan sesiapa. Cukup sekadar menegur dan menasihati perbuatan dan tingkah laku mereka. Waktu lain, ketika tiada ketegangan emosi antara kita dan anak maka berceritalah tentang kejayaan orang lain serta bagaimana mereka capai kejayaan tersebut untuk anak jadikan panduan dan tauladan. Saat sebegini adalah lebih mudah untuk anak menerimanya kerana mereka lebih terbuka. Ganjari bukan sahaja hasilnya tapi juga usahanya Manusia hanya berusaha tetapi Allahlah yang akan menentukan hasilnya. Sekiranya ibu bapa faham erti kata-kata ini maka mereka tidak akan merasa kecewa, putus asa dan marah apabila anak-anak tidak mendapat 5A dalam UPSR atau 8A dalam PMR. Ibu bapa tidak perlu bimbang tentang apa keputusan yang bakal diperolehi sebab itu urusan tuhan. Yang perlu dibimbangkan adalah usaha anak. Dorong anak-anak untuk melakukan yang terbaik dalam apa juga keadaan. Nyatakan dengan jelas kepada mereka bahawa bagi kita keputusan bukan perkara utama tetapi yang penting kita mahu lihat mereka telah berusaha bersungguh-sungguh. Sebagai bukti, kita berikan ganjaran terhadap usahanya dan bukan sekadar hasilnya. Misalnya, kita berjanji untuk berikan ganjaran tertentu sekiranya anak dapat 8A dalam PMR mereka. Namun begitu, sekiranya kita lihat anak memang telah berusaha tetapi sekadar dapat 4A 4B sahaja maka berilah juga ganjaran dalam bentuk atau amaun yang berbeza. Sebagai contoh, kita berjanji dengan anak kalau dia dapat 8A dalam PMRnya maka setiap A kita berikan RM50 ringgit. Sebaliknya kalau dia tidak dapat 8A, kita tetap berikan ganjaran tetapi kali ini setiap A Cuma dapat RM30 sahaja. Sentiasa doakan kejayaan anak Doakanlah kejayaan anak-anak sepanjang masa dan bukan hanya diwaktu musim peperiksaan sahaja. Doa ibu bapa, terutamanya doa ibu biasanya makbul. Elakkan dari mengeluarkan perkataan yang buruk terhadap anak kerana kata-kata kita itu merupakan satu doa. Doakan anak kita setiap kali kita teringatkan mereka. Misalnya ketika kita sibuk dipejabat tiba-tiba terdetik di hati apa agaknya anak sedang buat di rumah? Ketika itu terus berdoa dalam hati dan insyaAllah sekiranya kerap dilakukan begitu akan ada yang makbul nanti. Saya masih teringat waktu kecil dahulu bagaimana saya terdengar doa ibu. Saya datang dari keluarga yang miskin dan dibesarkan oleh seorang ibu tunggal. Ibu saya biasanya turun awal pagi untuk mencari nafkah dan pulang lewat petang dan ada ketikanya malam. Satu ketika, sedang saya tidur-tidur ayam terdengar ibu berdoa, “Ya Allah ya tuhanku.. aku mempunyai tiga anak lelaki, kalau tidak ketiga-tiganya berjaya maka berilah aku salah seorang dari mereka yang akan jadi penyelamat keluarga ini.” Mendengar doa ibu ini hati saya menyambut, “Ya Allah ya tuhanku.. biarlah salah seorang dari penyelamat keluarga itu adalah aku”. Kemana sahaja saya pergi dan apa sahaja saya lakukan selepas itu saya pasti terkenang doa ibu itu. Ia menjadi pendorong dan juga benteng diri yang cukup berkesan dalam hidup saya. Oleh itu, apabila berdoa untuk anak maka doalah dengan suara yang didengari dan difahami oleh mereka. Seelok-eloknya ketika berjemaah bersama agar anak-anak aminkan doa kita untuk mereka itu. Jaga Sumber Makanan Kita adalah apa yang kita makan. Oleh itu berikanlah makanan yang HALAL, lazat, berzat dan bersih untuk anak-anak kita. Makanan akan menjadi darah daging mereka. Sekiranya anak-anak diberi makan daripada sumber yang haram maka jangan salahkan mereka apabila mereka menjadi anak yang bermasalah, gelap hatinya, degil, malas dan sebagainya. Ibu bapa cemerlang tidak akan mengambil mudah perkara sepenting ini. Mulai hari semaklah sumber pendapatan kita dan pastikan ia diredhai dan diberkati Allah s.w.t. Tidak berputus asa dalam mengharap rahmat dan pertolongan Allah. Anak-anak adalah amanah Allah dan ujian untuk kita. Oleh itu tidak perlu kita berputus asa apabila anak-anak gagal setelah kita melakukan sesuatu usaha untuk melihat mereka cemerlang. Kalau satu usaha tidak berjaya carilah usaha yang lain. Kalau satu pendekatan tidak berkesan maka ubahlah kepada pendekatan yang lain. Tidak ada satu cara yang tepat dalam membantu anak-anak ke arah kecemerlangan. Lain anak lain kemahuannya, lain penerimaanya dan lain kebolehannya. Oleh itu pelbagaikan pendekatan keibubapaan sehingga kita dapat kenalpasti cara paling berkesan untuk setiap anak-anak kita. Kalau rasa bantuan orang lain diperlukan maka jangan pula kedekut untuk keluarkan sedikit pelaburan memasukkan anak-anak ke program-program motivasi, khemah ibadah, kaunseling dan sebagainya. Selagi hayat dikandung badan jangan sesekali berputus asa dalam mengharap rahmat Allah. Apa juga yang datang ada hikmah dan kebaikan yang tersendiri serta ujian dari Allah untuk tingkatkan keimanan kita sebagai ibu bapa. Perlu diingat, anak-anak perlu seimbang perkembangannya dari segi akademik, emosi, siasah dan kerohanian. Pincang salah satu maka pincanglah masa depannya. Dalam kita berhabis-habisan memastikan anak-anak cemerlang dalam akademik jangan pula kita lupa untuk memperuntukan masa, tenaga dan wang ringgit untuk membangunkan emosi, sahsiah dan rohani mereka. Kalau kita malu apabila anak-anak gagal dalam pelajaran maka kita patut lebih malu kalau anak-anak tidak solat, kurang adab, tidak menghormati orang lain dan sebagainya. SEKIAN.

Pautan Kekal Tinggalkan Komen

Wanita memang Istimewa…

November 20, 2008 at 4:06 pm (Uncategorized)

Mama dan Papa sedang menonton TV, seraya mama berkata. i letih
la..dah lewat ni, i nak tido lah


Mama pun pegi dapur nak tutup tingkap dapur, nanti masuk pulak
lipas leceh pulak nanti..dah tu, ade pulak rice cooker dalam
sink..rendam lepas makan tadi..basuh jap
susun pinggan kat rak, lap dapur..terpercik kena sambal masa masak
tadicheck air panas dalam flusk..takut habis pulak nanti malam
anak
nak susu memang dah kering pun flusk ni, jerang la air sementara
tunggu air masak, nampak pulak bekas gula dah kosong. salin la
gula check bubur untuk anak nak hantar ke taska esok..nasib baik ade
lagi ishh ni lauk bila ni, semalam dah beku dah basuh la
kejap .pegi yard, masukkan baju kotor dalam mesin basuh penat dah
ni, besok je la basuh sidai kaian lap je lah
tik bunyi air dah masak salin air dalam flusk ok settle

baru teringat tak semayang lagi on da way nak g bilik, papa tgk tv
lagi nampak pulak beg anak untuk hantar ke taska check baju 2
pasang, towel towel kecik utk selsama calamine lotion untuk sapu
ruam pampers
4 keping. alamak..telupa pulak masukkan botol basuh botol jap ok
settle

ternampak pulak beg g keje emm..besok nak pakai beg polo coklat lah,
asik2 pakai beg hitam ni je salin jap barang2 g beg coklat cek sume
6
poket beg, takut la tetinggal apa2..leceh pulak..selalunya barang yang
tertinggal tu la yang nak pakai nanti hishhh sempit la beg ni hangin
je nak kena beli ni beg baru rasenya 25 hb ni Sogo sale nih mana
flyers tadi ekha ni die..ok, catit jap kat yellow sticker, nanti
lupa..ok settle

Tetiba dengar suara papa..u buat apa lagi tu..tadi kata nak
tido.. ..yelah nak tido la ni..nak smayang jap

masuk toilet..buat apa2 yang patut cuci muka dulu..2 jenis lak
tu adoi..gosok gigi smayang pakai toner pakai treatment
cream nak lawa and maintain punya pasal lah ni
nanti orang kata baru anak satu dah macam anak 4 pulak

bukak almari emmm pakai baju hijau ni lah besok gosok kejap..check
baju papa, baju papa pun kena gosok jugak ni kat bilik belakang
la, napa komputer ni tak tutup ni..gelas kopi pun ade lagi, dah bersemut
dah..ishhh g dapur,
basuh, sambung gosok baju gantung
elok2 kemaskan baju gantung2 masukkan seluar papa yang dah kotor
dalam tempat kotor ok settle..

dgr suara papa lagi ..i dah ngantuk ni.. ..dalam pada nak masuk ke
bilik owh pokok aku dah nak mati ni ha..lupa dah 3 hari tak
siram ok, siram jap check jap pintu ni sah tak kunci lagi grill
pun tak tutup..ni kalau tak check ni, senang2 je mat indon masuk rompak
umah aku bukak lampu luar..

ni mainan ni sepah2 masukkan la dalam bakul mainan budak ni banyak
nya sampai bawah meja makan pun ade adoi. ok dah

ok dah boleh baring adoi sakitnya pinggang cium si comel ni
kejap selimutkan die ..napa basah ni emm, tukar la pempers
ni tak bagus la brand ni, nanti nak tukar lain la nanti g Sogo 25 hb

ni beli la skali ok sayang tido k kalau boleh jangan la bangun tgh
malam ni eh..tido sampai pagi k gud nite..sweet
dreams

aaahh sedapnya dapat baring mana pulak lotion sapu kurus aku
nih ha, ni dia sambil sapu lotion kurus,,,setkan alarm setkan
program kerja besok pg kul 9.30 ade meeting..
ahh boring panas pulak lotion nih..dah la emm..sedapnya lelapkan
mata Ya Allah terima kasih untuk rezekiMU hari ini, mohon
keberkatan dari mu tuhan papa pun bangun tutup tv i dah ngantuk
sangat ni nak tido lah citer pun tak best malam ni, bola pun
takde selang seminit  dengar suara papa berkeruh dah agak
dah .

So? Apa yang peliknya..??

Anda tahu kenapa wanita hidup lebih lama? SEBAB ADE BANYAK KERJA NAK
KENA BUAT.tu yang tak boleh nak mati cepat tu.

Pautan Kekal Tinggalkan Komen

KEHIDUPAN

Oktober 31, 2008 at 3:09 pm (Uncategorized)

Di kehidupan ini tidak akan terdapat dua manusia yang sama jalan kehidupannya,baik dari segi apa pun,kekuatan tubuh badan,kekuatan akal fikiran dan baik pun warna tubuh badan nya sendiri,bahkan dari dalam rahim ibu lagi sudah berlainan aliran hidupnya.Satelah lahir kita lihat jarinya mengecut tetapi bentuk bentuknya sudah menampakkan kelainan dari anak anak yang lain itu belum dikira lagi kelainan otak,jeritan atau tangisan yang didengar.Ada satu bahagian yang cuma menerima iaitu mata untuk menerima cahaya dan dengan cahaya akan dapat melihat dan membuat perbezaan baik dan buruk.Telinga untuk menerima pendengaran iaitu bunyi dan dari bunyi juga dapat membezakan janis jenis bunyi.Hidung untuk menerima jenis bau bauwan dan kesemua nya di peroses dan di analisa ke benak atau otak dan selepas itu akal pula akan mengambil peranan dan memberi ketentuan seterus nya.Kesemua panchaindera ini telah di beri tugas masing masing, tidak ada pancha indera yang merampas tugas panchaindera yang lain,telinga tidak akan dapat menjalankan tugas melihat,dan sebaliknya mata pun begitu dia tidak bolih mendengar, begitu lah seterusnya.Dan begitu lah seterusnya sahingga manusia itu meninggal dunia.

Begitu lah kehidupan laksana tenunan yang bersambung sambung, sekelian makhluk didunia ini tidak kelihatan kerana terlalu kecil,tenunan hayat yang kita ini akan berakhir dengan kematian dan disitulah akhirnya hujung benang tenunan kita iaitu akhir hayat tetapi ia tidak berkesudahan disitu sahaja ia akan di sambung olih benang lain iaitu bermula lagi kelahiran hayat baharu dan akan bersambung tidak putus putus sahingga akhir dan sampai bilakah..

Kematian.kematian yang biasa tidak lah datangnya saperti kilat,ada kalanya ia saperti lampu dinding yang kehabisan minyak yang beransur ansur malap dan akhirnya padam atau umpama sasebuah negeri yang di timpa kebuluran. penduduk nya beransur ansur mati satu persatu.Manusia memerlukan makanan,bagi manusia yang kuat menahan kelaparan akan bertahan lebih lama kehidupannya dan sebaliknya pula yang lemah akan singkat pengalaman hidupnya.

Itu adalah pandangan orang yang memerhatikan kehidupan,manusia memerlukan makanan,jika makanan teratur,maka fikiran akan terbuka akal akan bertambah,akal datang dari otak, otak yang sihat apabila oksijen akan lancar keotak,jika oksijen tidak lancar otak akan mati dan akal yang waras tidak akan keluar.

Baru sedekad manusia berolih pendapat, manusia berasal dari telor putih yang ada dalam mani, dan mani itu adakala mati dan hidup dan sudah dapat di tentukan bila ia menetas dan terkumpul menjadi beka iaitu anak sama ada lelaki atau perempuan.Dan orang tidak habis memikirkan bagaimana telor lelaki mempunyai belalai halus,dan telor halus ini menyatukan diri dengan telor perempuan didalam rahim dan lama lama menjadi darah,dari darah menjadi daging lalu berupa dan berbentuk iaitu manusia.Kekuasan allah bagaimana dari telor yang halus yang hampir tidak kenampakan dengan mata kasar bolih membesar berbentuk dan berkuasa.Cuba kita renungkan… itu cuma secebis renungan yang tidak sebagaimana….renungkanlah kekuasaan…yang maha kuasa tidak tercapai olih pemikiran kita.


Pautan Kekal Tinggalkan Komen

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.